Tafsiran Evolusi Sosial dan Konsep Kerajaan berdasarkan Falsafah Marx-Engels: Kesesuaian dan Aplikasi? - PPFPM

by ppfpm
7 months ago
23 Views
Oleh Nasha bin Rodziadi Khaw.
Muat turun fail PDF.

Kemunculan kota-kota awal di kawasan pesisir pantai dan lembah sungai Semenanjung Tanah Melayu telah dibuktikan melalui kajian terhadap sumber-sumber asing, terutamanya catatan pengembara Cina dan India. Kota-kota tersebut termasuklah Tan-Tan, Pan-Pan, Tun-Sun, Langkasuka, Kedah Tua dan Tambralinga. Berbeza dengan kerajaan-kerajaan di kepulauan Jawa dan tanah besar Indochina, kurangnya penemuan arkeologi di Semenanjung Tanah Melayu menimbulkan pelbagai persoalan mengenai struktur politik yang wujud dan bentuk evolusi sosial yang membawa kepada pembentukan kota-kotanya. Isu-isu ini telah dibahaskan oleh beberapa sarjana dari aspek sosio-antropologi dan etno-arkeologi seperti Bronson dan Christie. Sarjana-sarjana tersebut telah memberi pandangan mereka yang tersendiri mengenai hubungan antara persekitaran sosioekonomi, dan ekozon dengan struktur masyarakat serta kesannya kepada bentuk organisasi politik yang wujud. Kajian mereka sehingga kini menjadi landasan teoretis bagi interpretasi mengenai kota-kota pesisir pantai di Asia Tenggara. Penelitian terhadap struktur politik kota-kota pesisir pantai di Asia Tenggara perlu mengambil kira pengamatan terhadap struktur sosial masyarakat yang wujud dan hubungannya dengan persekitaran alam, mahupun persekitaran politik-sosioekonomi dunia luar.

Teori Christie telah menetapkan ciri-ciri khusus kota-kota awal Semenanjung Tanah Melayu serta kronologi perkembangannya. Christie berpendapat bahawa kota-kota pelabuhan di Kepulauan Melayu mempunyai persamaan dari segi manifestasi kuasa politik, struktur fizikal, sumber pendapatan dan ciri substruktur ekonomi dalaman. Ciri fizikal utama yang dimiliki kota-kota adalah dari segi lokasinya yang tertumpu di kawasan lembah sungai. Dari segi sumber pendapatan pula, kesemua kota-kota tersebut bergantung kepada aktiviti perdagangan. Teori Bronson menyatakan aliran komoditi dari kawasan pedalaman ke kawasan pesisir. Model Bronson dicadang berdasarkan kepada andaian bahawa komoditi yang dihasilkan cuma datang dari pedalaman, dan diangkut dari kawasan hulu ke hilir dalam satu arah dan kelompok-kelompok penempatan wujud sebagai sistem terpencil. Walau bagaimanapun, persoalan mengenai waktu, lokasi dan mekanisme peralihan sosioekonomi yang membawa kepada kewujudan organisasi politik tidak diterangkan dengan lanjut dalam kedua-dua teori tersebut.

Teori formasi sosial (social formation) oleh Marx merangkumi perbahasan mengenai semua bentuk hubungan berproduktif (Productive Relation) yang wujud sepanjang sejarah manusia. Antara perkara berkaitan dengan hubungan berproduktif yang dibincangkan termasuklah asal-usul harta persendirian (origin of private property), formasi kelas-kelas (formation of classes), cara eksploitasi dan perjuangan antara kelas (means of exploitation and class struggle), formasi kerajaan (formation of state), analisis era-era progresif dalam formasi ekonomika masyarakat (analysis of all progressive eras of the economic formation of society), asas usul, perkembangan dan kemerosotan bentuk-bentuk mod pengeluaran yang berbeza (origin, development and disappearance of various modes of productions) dan sebagainya. Persoalan berkenaan evolusi sosial dan struktur politik kota-kota awal Semenanjung Tanah Melayu juga boleh dibahas berdasarkan kepada aspek-aspek perbincangan ini. Makalah ini akan cuba menilai kesesuaian dan aplikasi falsafah Marx-Engels dalam mentafsir evolusi sosial masyarakat awal di Semenanjung Tanah Melayu dan struktur politik kota-kota awalnya.

Baca selanjutnya:

[googleapps domain=”drive” dir=”file/d/19SXn8oUNufbRJamxHtHBmaX57b3bJIG8/preview” query=”” width=”800″ height=”1100″ /]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *